Kertas siasatan Altantuya tidak perlu dibuka - Khalid

khalid altantuya sirul najib musa


SHAH ALAM : Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan sekali lagi bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum perlu membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan melibatkan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan  bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan,  yang mahu PDRM membuka semua kertas siasatan bagi mengesahkan pendedahan yang dibuat bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar bahawa beliau ‘diarah untuk membunuh’ model tersebut.

Tambah Khalid, itu termasuklah membuka kertas siasatan terhadap laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng kelmarin, yang menuntut tindakan sama oleh pihak polis.

“Setakat ini, PDRM belum perlu lagi buka semula atau buka siasatan di atas laporan polis yang dibuat Lim Lip Eng,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, akhbar ini memetik Musa sebagai berkata, siasatan itu perlu bagi mengesahkan kebenaran pendedahan tersebut.

Jelas Musa, sekiranya ada keterangan baharu, polis perlu membuat siasatan semula.

Sebelum ini, Khalid telah menyatakan tiada sebab untuk PDRM berbuat demikian, kerana tertuduh, Sirul mempunyai peluang berbuat demikian di tiga peringkat di Mahkamah.

Beliau menyatakan kebimbangan, ada pihak yang berkepentingan cuba mempengaruhi Sirul perkara yang tidak betul.

“Kita tidak akan buka kertas siasatan oleh sebab desakan pihak tertentu tapi kita akan memantau apa yang ingin didedahkan Sirul,” ujar Khalid pada Rabu.

Sirul dalam kenyataannya dalam The Sydney Morning Herald yang bertarikh 18 Februari 2015, memetik sebagai berkata, beliau bertindak membunuh wanita itu kerana “hanya mengikut arahan dan orang penting dengan motifnya masih bebas”.

Sirul kini ditahan di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney selepas ditangkap di Queensland berikutan notis merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.

0 Response to "Kertas siasatan Altantuya tidak perlu dibuka - Khalid"

Catat Ulasan