Serangan Dr M pada PM didakwa susut nilai ringgit



Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mendakwa serangannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan menjadi faktor penyusutan nilai ringgit ketika ini.

Ahmad yang juga MP Pontian minta Dr Mahathir itu menghentikan serangan terhadap perdana menteri kerana ia boleh kesan negatif terhadap ekonomi negara, lapor Utusan Malaysia Online awal pagi ini.

Malah, dalam laporan itu, timbalan menteri kewangan itu turut berkata kesemua 15 perkara yang dibangkitkan sebelum ini telahpun dijawab oleh perdana menteri.

"Seperti mana yang dinyatakan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Aziz, ekonomi negara masih berada pada asas-asas yang betul berdasarkan pada rizab yang kukuh, ekonomi berkembang de­ngan positif, inflasi terkawal dan kadar pengangguran yang rendah.

"Namun isu serangan yang dilakukan oleh Dr Mahatir ditambah dengan sokongan pihak tertentu turut dikatakan menjadi faktor kepada penyusutan ringgit ketika ini,” katanya seperti dilapor oleh portal berita itu.

Laporan itu juga menyebut Ahmad ditanya kesan berterusan jika berlaku penyusutan nilai ringgit, beliau berkata ia akan menyebabkan barangan import mengalami kenaikan harga kerana urus niaga menggunakan dolar Amerika.

"Jika keadaan itu berlaku, keadaan ekonomi negara bertambah sukar, biarpun pada dasarnya ia tidak akan berlaku dengan adanya asas ekonomi yang kukuh, namun dibimbangi perkara itu tidak dapat dielakkan,” katanya.

Laporan itu juga menyebut Ahmad menegaskan Najib tidak akan meletak jawatan hanya disebabkan oleh permintaan seorang individu dan akhirnya rakyat akan mengetahui apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir tidak membawa sebarang kebaikan dan menjatuhkan imej dan maruah negara.  

Sumber : Malaysiakini

1 Response to "Serangan Dr M pada PM didakwa susut nilai ringgit"