KUALA LUMPUR : Selepas Nora Danish menjadi mangsa apabila gambarnya digunakan dalam klip video YouTube oleh kumpulan yang mencetuskan provokasi terhadap sistem keadilan, hari ini giliran Jaafar Onn menjadi sasaran.
Gambar pelakon dan pelawak yang terkenal menerusi drama Cili Padi itu digunakan dalam video klip berdurasi 1.27 minit yang memaparkan tiga lelaki bertopeng menggelarkan diri mereka sebagai Anak Malaysia Anti Demokrasi (AMAD) mendakwa akan membunuh seorang pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Selepas ini artis mana pula yang akan digunakan dalam video seumpama ini. Saya tak pernah buat salah dengan orang dan kenapa pula saya yang dipilih kali ini.
"Apa salah saya kepada mereka. Saya tak gentar dengan tindakan seumpama ini kerana saya percaya kepada Tuhan.
"Saya serahkan semua ini kepada Yang Maha Esa. Saya ada kepercayaan ini. Malah saya tak terfikir untuk membuat laporan polis hanya kerana perkara sebegini. Hidup saya masih diteruskan seperti biasa," katanya ketika dihubungi BHOnline.
Pada 16 Februari lalu, imej Nora sebelum ini digunakan dalam klip video empat lelaki yang menutup muka menggelarkan mereka sebagai Anak Muda Malaysia yang mahu mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan negara.
Susulan itu Nora membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga.
0 Response to "Klip video ugutan, Jaafar Onn pula jadi sasaran"
Catat Ulasan